SELAMAT DATANG KE MHP ENTERPRISE SDN BHD

Produk Halal Berkualiti Matlamat Kami

Selamat Datang...

SECEBIS KISAH KEJAYAAN MHP ENTERPRISE

Tengku Permaisuri  Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meninjau dan merasai kuih tradisional yang terdapat di Wisma Masri di Parit 7 Sekinchan pada 1 MEI 2019

‘ SERIBU LANGKAH ITU, IA BERMULA DARIPADA LANGKAH PERTAMA’

MHP ENTERPRISE telah menjalankan perusahaan makanan ringan berasaskan pertanian sejak penubuhannya pada 06 hb Julai 1992. 

Ianya dimiliki oleh tiga ahli perkongsian iaitu Tuan Haji Punari Bin Salleh, Hajjah Mastura Binti Senon dan anaknya Puan Musleha Binti Zainuddin. 

Perusahaan ini telah berkembang daripada perusahaan kecil-kecilan kepada sebuah perusahaan yang semakin berkembang kini ke peringkat glokal dan global.

MHP Enterprise yang ada kini sebenarnya dibangunkan dengan keringat dan kudrat daripada pengasasnya iaitu Tuan Haji Punari dan Hajjah Mastura. 

Melalui usaha awal ini disamping pengorbanan dan kesabaran yang tinggi menjadikan perniagaan ini yang bermula dalam skala yang kecil telah mengalami perkembangan yang memberangsangkan. 

MHP Enterprise dibangunkan dengan modal sendiri daripada pengasasnya sebanyak RM10,000.00 dan dibangunkan sedikit demi sedikit di mana pinjaman dan pembiayaan agak sukar diperolehi pada peringkat awal. 

Setelah ia menampakkan hasil maka ianya telah membuka mata pihak-pihak tertentu untuk membangunkan perusahaan ini.

Pada ketika itu untuk memulakan perniagaan memang memerlukan pengorbanan yang tinggi. Pasaran pada peringkat awal adalah ke pasar-pasar tani yang diwujudkan oleh FAMA di sekitar lembah klang. 




Pada ketika itu pendapatan syarikat yang disumbangkan oleh pasar tani adalah 70 % dan pusat jualan di Parit 7 Sungai Leman hanya 30 % tetapi kini peratusan pendapatan syarikat sudah terbalik. Ianya satu perkembangan yang cukup memberangsangkan.

MHP Enterprise memulakan operasinya setiap hari bermula jam 08.00 pagi sehingga jam 06.00 petang. Pada musim perayaan operasi pusat jualan akan ditutup sehingga jam 10.30 malam. 

Ia beroperasi 7 hari seminggu sebagai usaha memenuhi permintaan para pelanggan yang ingin mendapatkan produk-produk yang diingini oleh para pelanggan.

CABARAN  MEMBANGUNKAN PERNIAGAAN

Cabaran-cabaran pada peringkat awal memang memerlukan kesabaran. Hutang pelanggan yang tidak berbayar, kenaikkan harga dan kekurangan bahan mentah, persaingan , modal yang kecil , mesin-mesin yang belum sempurna , tenaga yang belum mahir menjadikan MHP Enterprise berusaha mengatasi cabaran ini satu persatu. Kini cabaran ini berjaya di atasi sedikit demi sedikit.

Penghargaan yang cukup tinggi wajar diberi kepada pengasas MHP Enterprise ini yang telah mencurahkan pengorbanan yang tinggi dalam membangunkan perusahaan ini pada peringkat awal sehingga kini. Usaha ini wajar menjadi contoh kepada usahawan-usahawan baru yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

Untuk berjaya dalam perniagaan tiada jalan pintas dan cepat. Tetapi memerlukan masa disamping pengorbanan , kerajinan dan kreativiti untuk berjaya. 



Sebab itu kita melihat kejayaan syarikat-syarikat multinasional global bermula dengan sedikit demi sedikit. Di samping itu pembelajaran yang berterusan adalah penting supaya perniagaan yang dijalankan bersedia untuk berhadapan dengan dunia globalisasi dan ‘ Flat World’.

Melihat potensi kawasan ini yang mempunyai sumber bahan mentah yang banyak disamping berusaha membela nasib ibu tunggal di kawasan ini mencari rezeki. MHP Enterprise menjadi syarikat yang mula menjadi bualan ramai dengan produk-produk awalnya seperti bahulu , kuah kacang, kuah pecal dan makanan ringan tradisional.

Siapa yang menjangka bahawa produk –produk ini yang dilihat bersifat kekampungan, sebenarnya mempunyai potensi yang cukup tinggi dan unik di pasaran. Ini yang menjadi kekuatan awal kepada syarikat dalam ruang modal yang terbatas dan infrastruktur yang sederhana menjadikan syarikat kuat daripada masa ke semasa.

Sejajar dengan pembangunan perniagaan yang semakin meluas. Puan Musleha Binti Zainuddin yang mempunyai Ijazah Kepujian dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia UUM, Sintok memberi inspirasi baru kepada MHP Enterprise untuk mengorak langkah yang lebih jauh. Dengan semangat dan dedikasi yang tinggi bersama didikan pelajaran yang diperolehi beliau telah membawa beberapa peningkatan kepada MHP Enterprise.

Antara usaha besar beliau dan pekerjanya, syarikat telah berjaya melonjakkan jualan kasar pada 2007 ini kepada RM 1.26 Juta. Pengiktirafan halal daripada Majlis Agama Islam Selangor dan JAKIM kini telah diperolehi dalam usaha membawa produk syarikat ke pasaran yang lebih luas. 

Malahan kini produk-produk MHP Enterprise telah mendapat pasaran di pasaraya besar seperti Giant , Seksyen 13 Shah Alam dan pasaran di Lembah Klang .

MHP Enterprise menggunakan jenama MASRI untuk produk-produk keluarannya dan di samping itu menjadi pembekal untuk kuah kacang bagi brand AGROMAS yang di pasarkan oleh pihak FAMA. 

Melalui FAMA produk Kuah Kacang di bawah jenama ini telah menembusi pasaran antarabangsa seperti di Asean, Asia Barat dan Eropah. Ianya juga disokong dengan penyertaan produk-produk ini di pameran-pameran perdagangan di dalam dan luar negeri.

Produk utama syarikat ini ialah Kuah Kacang atau kuah pecal, kuah rojak, pelbagai jenis bahulu seperti bahulu cermai,bahulu ikan, bahulu pecah lapan , dan bahulu gulung. 

Syarikat ini juga mengeluarkan lebih daripada 10 pelbagai jenis makanan ringan tradisional seperti rempeyek kacang tanah,dal dan hijau, jejari bilis dan udang, kuih ros, biskut mazola, pelbagai jenis kerepek ubi,pisang dan pelbagai lagi yang akan menyusul kelak.

MHP Enterprise kini mempunyai 40 orang pekerja tetap dan sementara. Di samping itu cawangannya di Kuala Selangor telah memulakan operasinya pada Mei 2006 sebagai usaha memperkembangkan pasaran di samping memudahkan pelanggan-pelanggan di sekitar kawasan tersebut. 

MHP Enterprise juga menjadi pusat jualan untuk produk-produk makanan ringan tradisional ini yang diusahakan oleh penduduk sekitar.

MENERIMA KUNJUNGAN PELBAGAI PIHAK

Kini pihak MHP Enterprise menerima pelbagai kunjungan daripada para pelawat yang menginap di Hotel De Palma Kuala Selangor , Homestay Sungai Sireh , Homestay Parit 7 Sungai Leman (PAPITUSULEM), Homestay Sungai Haji Dorani, peserta-peserta kursus daripada Institut Perakaunan Negara, KEMAS, PERHEBAT ,FAMA , PERKIM, INTAN, PDRM, Jabatan Pertanian, sekolah-sekolah dan universiti-universiti , Jabatan Penerangan, Karangkraft dan lain-lain. Malahan juga pihak syarikat menerima delegasi dan pelancong asing seperti Iran, Belanda, Indonesia, Perancis, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Nepal, Filifina, Singapura, Mynmar, Brunai , Thailand dan lain-lain.



Di samping itu juga MHP Enterprise ada menerima peserta untuk menjalani latihan industri dan keusahawanan seperti UIAM,UiTM, Kolej Komuniti Sabak Bernam, UPSI, Jabatan Pertanian , BPR, FAMA dan pelbagai lagi. Ianya adalah usaha kami untuk mewujudkan lebih ramai lagi usahawan-usahawan dalam industri asas tani dan makanan ini.

Kini MHP Enterprise akan terus memandang ke hadapan. Adalah disasarkan selepas ini MHP Enterprise akan membangunkan perusahaan ini menjadi lebih besar dengan wujudnya lebih banyak cawangan. 

Di samping peningkatan kualiti terhadap produk melalui kerjasama penyelidikan bersama FAMA, SIRIM dan MARDI di harap produk selepas ini boleh menembusi dan bersaing di pasaran global pula.

Semoga MHP Enterprise akan terus maju dan berkembang di masa hadapan. Kejayaan bukanlah satu destinasi tetapi kejayaan adalah sebuah perjalanan, dan perlu kita berusaha dan berjihad dalam membangunkan ekonomi ummah agar nasib ummah lebih gemilang di masa hadapan.