SELAMAT DATANG KE MHP ENTERPRISE SDN BHD

Produk Halal Berkualiti Matlamat Kami

Selamat Datang...

Menjadi Tarikan Pelancong Asing



Kerepek Masri bukan hanya terkenal kalangan penduduk kampung malah kerepek dan produk jenama itu dikenali hingga ke Brunei.

SERIBU langkah itu bermula daripada langkah pertama. Itulah kata kata perangsang kemajuan perniagaan MHP Enterprise milik pasangan suami isteri, Punari Salleh dan Mastura Senon bersama anak sulung mereka, Musleha.

Menjalankan perniagaan berasaskan perusahaan makanan ringan dari sumber daripada sumber pertanian, pasangan itu sepakat mengambil singkatan nama Mastura dan Punari. Maka, wujudlah Masri sebagai jenama pada produk makanan yang mereka hasilkan.

Cerita insan tabah yang membangunkan MHP Enterprise itu, semua yang dimiliki hari ini bermula dengan perniagaan pertanian secara kecil-kecilan di pasar tani.

"Berkat kesabaran yang tinggi, perniagaan ini sudah berkembang sampai ke tahap ini. MHP Enterprise dibangunkan dengan modal RM10,000. Pada masa itu, modal saya gunakan hanya untuk beli, bungkus dan pasarkan jualan.

"Semua kerja juga dijalankan secara tradisional. Tidak ada mesin mahupun tenaga kerja yang ramai untuk bangunkan perniagaan ini," ujar Punari dengan loghat jawa yang pekat ketika ditemui di kilang MHP Enterprise, Sekinchan, Kuala Selangor.

Usaha gigih pasangan itu menerusi perniagaan kerepek telah membuka mata pihak tertentu untuk sama-sama membangunkan perusahaan tersebut.

Pada peringkat awal perniagaan itu, Punari memasarkan produk ke pasar tani yang diwujudkan oleh FAMA di sekitar Lembah Klang.

"Waktu itu, pendapatan syarikat yang disumbangkan oleh pasar tani ialah 70 peratus dan pusat jualan di Parit 7 Sungai Leman hanya 30 peratus.

"Tetapi kini peratusan pendapatan itu dah terbalik. Ia menunjukkan perkembangan yang cukup memberangsangkan," kata Punari.



Cabaran

Bagi Punari, tidak ada istilah putus asa dalam mengusahakan perniagaan. Malah, baginya setiap turun naik dalam perniagaan memberikan cabaran tersendiri.


Katakan apa sahaja jenis cabaran. Semua dihadapi dengan tabah. Apa yang pasti sabar adalah resipi asas apabila terpaksa berdepan dengan kesukaran.

Tanpa berselindung, Punari mendedahkan bahawa perniagaannya diuji dengan sikap pelanggan yang tidak membayar hutang, persaingan, kenaikan dan kekurangan bahan mentah yang menyebabkannya mengalami kerugian.

"Untuk berjaya dalam perniagaan, tiada jalan pintas. Kejayaan memerlukan masa, pengorbanan, kerajinan dan kreativiti," pesan Punari.

Buka peluang

Jelas Punari, tempat dia menjalankan perniagaan sekarang merupakan kawasan yang kaya dengan sumber bahan mentah. Sebab itulah Punari terus bertapak di sana.

Selain itu, Punari juga berniat untuk membela nasib ibu tunggal di kampung berkenaan mencari rezeki.

PUNARI bersama anaknya, Musleha menunjukkan antara produk yang dihasilkan oleh syarikat MHP Enterprise.

Selain ibu tunggal, Punari ada mengambil pelajar dari beberapa kolej komuniti berdekatan untuk menjalani latihan amali.

"Saya juga pernah menerima seorang pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menjalankan sesi praktikal di sini. Saya juga asuh dia menjadi usahawan.

"Syukur, dia menunjukkan minat dan khabarnya bakal membuka perniagaan baulu di kampus pengajiannya," ujar Punari dengan bangga.

Bersara

Pada usia awal 50-an, Punari mengambil keputusan untuk bersara. Dia kemudiannya menyerahkan perniagaan yang dimulakan pada tahun 1992 itu kepada anak sulungnya, Musleha, 28.

Sejajar dengan pekembangan perniagaan, Musleha yang memiliki Ijazah Kepujian dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), tampil memberi inspirasi baru kepada MHP Enterprise.

Apa yang membanggakan, sejak Musleha mengambil alih perniagaan bapanya, dia telah berjaya melonjakkan pendapatan kasar hingga RM2.3 juta. Musleha juga berusaha mendapatkan pengiktirafan halal daripada jabatan agama.

"Mula-mula nak ambil alih perniagaan ini saya rasa macam tak berapa gembira. Sebabnya, saya rasa lebih seronok kalau dapat kerja di syarikat antarabangsa dengan kelulusan yang ada.

"Tetapi, lepas beberapa bulan bekerja, saya rasa seronok. Bukan sahaja dapat mewarisi perniagaan malah, boleh mendapat pendapatan dan aset yang tak mampu saya dapat kalau kerja makan gaji dengan orang lain,"ujarnya.

Justeru, Musleha meneruskan usaha mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

PRODUK keluaran MHP semakin mendapat tempat di pasaran tempatan.

Buktinya, Musleha berjaya memasarkan kerepek jenama Masri ke dalam pasar raya besar seperti Giant.

"Jenama ini juga sudah dikenali di Brunei sehingga ada orang Brunei yang datang ke Kuala Selangor semata-mata untuk membelinya," katanya.

Musleha kini menguruskan perniagaan dengan bantuan lebih 40 orang kakitangan tetap dan sementara.

Tarikan pelancong

MHP Enterprise menjadi antara perusahaan yang berjaya di kampung berkenaan. Ia kini menjadi salah satu lokasi kunjungan pelancong tempatan dan luar negara.


PENGELUARAN kerepek Masri dibantu oleh mesin berteknologi tinggi.

Antara pusat pelancongan yang membawa pelanggan melawat MHP Enterprise termasuklah Hotel De Palma Kuala Selangor, homestay Sungai Sireh, homestay Parit 7 Sungai Leman dan homestay Sungai Haji Dorani.

Tidak ketinggalan peserta kursus Institut Perakaunan Negara, Kemas, Perhebat, FAMA, Perkim, Intan, PDRM, Jabatan Pertanian serta pelajar pusat pengajian tinggi.

Pelancong asing yang pernah melawat kilang Masri termasuklah dari Iran, Belanda, Indonesia, Perancis, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Singapura, Myanmar dan Thailand.

Begitulah kehebatan aura perusahaan Masri.

"Kalau datang ke Kuala Selangor, orang mesti cari Masri. Alhamdulillah... kami akan terus memberi yang terbaik kepada pelanggan,"tambah Musleha.

Masa depan

Menurut Musleha, MHP Enterprise menyasarkan untuk membuka lebih banyak cawangan pada masa akan datang. Tidak sekadar cawangan, kualiti produk juga akan ditingkatkan.

"Kami akan menjalankan penyelidikan bersama FAMA, SIRIM dan MARDI dengan matlamat untuk memasarkan produk Masri ke pasaran global,"katanya yang tidak pernah ketinggalan untuk menyertai pelbagai pameran makanan di Kuala Lumpur.

MHP Enterprise kini menjadi salah satu lokasi kunjungan pelancong tempatan dan luar negara.

Harapan Punari, Mastura dan Musleha, semoga MHP Enterprise terus maju. Menurutnya, kejayaan bukanlah destinasi, tetapi satu perjalanan yang mesti diiringi dengan usaha demi membangunkan ekonomi.

"Kami juga mahu membangunkan ummah lebih gemilang pada masa hadapan," akhiri Musleha.