Laman Utama

Tips Perniagaan Dengan Keberkatan


Pelbagai aneka kerepek dan makanan tradisional

Menurut MAJALAH NIAGA Terdapat 4 petua mudah untuk mencari keberkatan dalam perniagaan. Petua  ini perlulah dijadikan amalan bagi usahawan yang mahu mendapatkan rezeki yang berkat di dunia dan berpanjangan sehingga ke akhirat.

1. Niat

Niat adalah lintasan dalam hati sebelum kita melakukan sesuatu perkara. Ganjaran Allah adalah berdasarkan kepada apa yang kita niatkan.

Rasulullah SAW bersabda bahawasanya, “Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Usahawan yang mahu mendapat keberkatan dalam perniagaan mestilah memasang niat sebelum memulakan sebarang perniagaan agar perniagaan yang dijalankan adalah bertujuan semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah Taala.



2. Solat Sunat Dhuha

Solat sunat Dhuha adalah solat sunat yang dilakukan pada waktu pagi, selepas terbit matahari dengan minimum bilangan rakaatnya adalah dua dan maksimumnya adalah 12 rakaat.

Para peniaga mahupun usahawan digalakkan untuk menjemput rezeki dan menolak kepapaan dengan melaksanakan solat sunat Dhuha ini. Terdapat pelbagai kelebihan bagi mereka yang melaksanakan solat Dhuha ini dengan penuh khusyuk.

Antara kelebihan solat Dhuha adalah dijauhkan dari kemiskinan. Allah pasti mencukupkan keperluan bagi mereka yang rajin melaksanakan solat sunat Dhuha.

Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali kamu malas melakukan empat rakaat solat Dhuha, kerana dengan solat itu, Aku cukupkan keperluanmu pada waktu petangnya.” (Riwayat Hakim dan Tabrani)

Selain itu, antara kelebihan solat dhuha juga adalah mendapat balasan syurga dan dihindarkan dari azab dan seksaan api neraka. Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua raka’at Dhuha dan Witir sebelum tidur.”

3. Solat Sunat Tahajud

Untuk menjadi seorang usahawan yang mendapat keberkatan dalam hidup, amalan solat sunat Tahajud mestilah dilakukan pada setiap malam tanpa gagal. Dalam peniagaan terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang menimpa setiap usahawan. Usahawan berdepan dengan 1001 masalah.

Jadi, ambillah peluang untuk berkomunikasi dengan Allah dengan mengadu pada-Nya di akhir sepertiga malam kerana hanya Allah sahaja tempat kita meminta hajat dan memohon pertolongan.

Di antara kelebihan solat sunat Tahajud adalah hati akan menjadi lebih tenang, doa dan hajat dimakbulkan, mendapat pertolongan dan rahmat Allah, mendapat ketenangan hati, mencegah melakukan dosa, mengubati penyakit dan lain-lain.

Rasulullah SAW bersabda, “Setiap malam Allah Ta’ala turun ke langit dunia, ketika datang sepertiga malam terakhir, lalu Allah berfirman, “Barang siapa yang berdoa kepada-Ku akan Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan, siapa yang memohon ampun kepada-Ku Aku ampuni”. (Hadis Riwayat Bukhari Muslim)

4. Bersedekah

Percayalah, dengan bersedekah rezeki tuan puan pasti akan bertambah dan melimpah-ruah. Dengan sedekah juga, hati akan menjadi lebih tenang dan hidup akan menjadi lebih indah.

Bersedekah - berkat dalam perniagaan

Bersedekahlah kerana sedekah itu membawa kepada keberkatan harta kekayaan. Dengan adanya keberkatan, rezeki yang sedikit akan sentiasa mencukupi. Tanpa keberkatan, rezeki akan tersepit dan hidup makin terhimpit.



Janganlah kedekut untuk bersedekah kerana pada sedekah itu ada banyak kelebihan yang tersembunyi. Sedekah yang dilakukan dengan penuh ikhlas walaupun sedikit pasti akan mendapat ganjaran yang hebat di sisi Allah S.W.T.

Akhir kata, carilah keberkatan dalam berniaga kerana tanpa keberkatan harta banyak pun tiada gunanya. Jadilah peniaga yang bukan sahaja kaya di dunia malah kekayaan itu diwarisi sehingga ke akhirat sana.

Semoga dengan tips diberikan dapat mencari keberkatan dalam perniagaan.


SUMBER: BERNAMA/ MAJALAH NIAGA