Laman Utama

Baulu Panas Tradisional Sekinchan

Tengku Permaisuri  Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meninjau dan merasai sendiri cara pembuatan bahulu ikan di Wisma Masri di Parit 7 Sekinchan pada 1 MEI 2019


SEKIRANYA berkunjung ke daerah Kuala Selangor serta Sabak Bernam, singgahlah ke Sekinchan.

Selain menikmati keenakan makanan lautnya, pengunjung pasti mencari Kilang Baulu Masri gara-gara keenakan baulu panas yang boleh diperolehi sebaik saja kuih tradisional itu dikeluarkan dari ketuhar.

Situasi ini sangat jarang ditemui kerana hanya di MHP Enterprise, anda boleh menikmati keenakan baulu panas!

Pengeluaran baulu di sini juga tidak terhad pada musim perayaan seperti Aidilfitri, sebaliknya menerima permintaan daripada pengembara atau pelancong yang melalui jalan persekutuan antara Klang ke Teluk Intan atau Pangkor di Perak.




Kebiasaannya kita sering disajikan baulu yang sudah sejuk. Justeru, inilah nilai tambah baulu Masri yang membezakannya dengan baulu biasa kita peroleh dari pasar raya atau pusat beli-belah.

Popularitinya menggamit kehadiran pelancong tempatan dan asing sehingga ada antara mereka ingin melihat sendiri pembuatan kuih tradisional itu secara dekat, malah menikmatinya panas-panas hanya di tepi kilang!


Bukan sekadar produk kekampungan

Kini, baulu bukan saja boleh dinikmati ketika musim perayaan seperti Aidilfitri, sebaliknya setiap hari ia dihasilkan untuk memenuhi permintaan yang tinggi.

Produk yang dilihat bersifat kekampungan seperti baulu, mempunyai potensi di pasaran jika aspek pembuatan, pembungkusan dan pemasarannya dilakukn dengan sempurna.

Tidak mengandungi pengawet

Penolong pengurus, MHP Enterprise, Nabilah Hibatullah Mohd Arif, berkata baulu Masri yang dihasilkan secara tradisional, rangup di luar dan lembut di dalam.

Katanya ia berbeza baulu moden yang dicampur bahan pengawet, luar dan dalamnya lembut seperti span.

Tambah Nabilah, baulu tradisional, tarikh luputnya selama tiga minggu, manakala yang sudah dicampur bahan pengawet, ia tidak rosak lebih sebulan.

"Baulu panas yang baru dikeluarkan dari ketuhar, tidak boleh dimasukkan dalam plastik kedap udara atau melalui proses pembungkusan, sebaliknya ia perlu disejukkan dengan kipas angin kira-kira sejam. Sekiranya terus dibungkus panas-panas, dikhuatiri cepat rosak atau ditumbuhi kulat.




"Jangan risau sekiranya baulu tradisional terdedah kepada udara, ia tidak akan rosak atau liat. Walaupun sudah sejuk, baulu masih rangup.

"Baulu Masri ada permintaan tinggi sebab orang susah nak cari yang tradisional (tidak dicampur pengawet). 




"Justeru, setiap proses pembuatannya perlu menepati piawaian yang ditetapkan. Selain dinikmati begitu saja, baulu kami boleh dijadikan hamper atau buah tangan, mahupun sebagai edisi khas perkahwinan," katanya lagi.





MHP Enterprise Sdn Bhd (pejabat urusan / pusat jualan)

Alamat: Lot 051, Parit 7, Sungai Leman, Sekinchan, Selangor
Telefon: 03 3241 3957
Laman sesawang: www.mhp2020.blogspot.com
E-mel: mhpenterprise2020@yahoo.com

Waktu operasi (setiap hari)

* Bermula jam 8 pagi hingga 6 petang

* Musim perayaan dibuka sehingga jam 10 Malam

SUMBER PENULISAN ASAL : BH ONLINE
LINK ASAL | https://www.bharian.com.my/node/182926