SELAMAT DATANG KE MHP ENTERPRISE SDN BHD

Produk Halal Berkualiti Matlamat Kami

Selamat Datang...

Tekad Membawa MHP ENTERPRISE Ke Persada Global




Puteri sulong daripada lima beradik ini tekad mewarisi  perniagaan ayahnya, Punari@Zainuddin Salleh yang berniaga sayur-sayuran kampung di Pasar Tani sekitar 1985.


Musleha Zainuddin yang kini Pengurus Syarikat MHP  Enterprise (Masri), berkata bagi mengelak warisan  keluarganya berkubur, dia mengambil alih tugas itu. 


Menggunakan modal RM10,000, perniagaan diusahakan terus berkembang dengan terbinanya pusat pembungkusan dan pemasaran produk pada 1998. 

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mengakui pernah berfikir untuk ‘makan gaji’.

Namun, atas nasihat ayahnya, dia tidak menoleh ke belakang lagi untuk menentukan hala tuju masa depan.

“Siapa yang tidak cemburu melihat rakan lain berjaya, berpakaian kemas dan segak, tetapi saya seronok dengan tugas ini kerana cara berpakaian mudah. 

“Tudung yang saya pakai pun tidak berhias dengan batu dan manik. Setiap hari hanya jaga di kaunter dan menanti kedatangan pelanggan. 

“Dari cuci tandas, buang sampah, sapu kedai sehingga menyusun stok semua dibuat sendiri, semua saya lakukan,” katanya. 

Musleha yang mengambil alih perniagaan keluarganya pada 2006 berkata, ayahnya yang dianggap ikon memberikan banyak pendedahan dunia perniagaan, selain membantu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor. 

“Hubungan keluarga kami dengan beberapa pegawai FAMA Selangor baik. 


Tengku Permaisuri  Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meninjau dan merasai sendiri jualan di Wisma Masri di Parit 7 Sekinchan pada 1 MEI 2019

“Saya bersyukur FAMA banyak membantu saya sepanjang memasarkan produk ini,” katanya ditemui di Wisma Masri di Sekinchan. 

Musleha berkata, kuah kacang atau pecal adalah produk paling laris, malah dieksport ke Dubai, China dan Singapura menggunakan jenama Agromas. 

“Kuah kacang atau pecal memang produk istimewa kami kerana ia resipi turun temurun daripada arwah nenek. 

“Bayangkan resipi ini berusia 80 tahun, namun rasa dan cara pembuatan kuah kacang atau pecal ini masih sama,” katanya. 

Berdasarkan purata jualan bulanan, produk kuah kacang terbabit menyumbang sehingga 40 peratus pendapatan syarikat, manakala 30 peratus produk Masri seperti kerepek dan kuih muih tradisional. 

Beliau mengakui, konsep murah hati dan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan dan prinsip dirinya ketika berdepan dengan pelanggan. 

Ini termasuk mereka yang berkunjung ke gerainya atau tapak Pasar Tani FAMA di Kuala Selangor, Keramat Permai dan Segambut.

“Ayah sentiasa berpesan, jika berniaga jangan fikir untung saja, amalkan konsep bersedekah dan tidak kedekut. 

“Contoh jika kerepek harganya RM2 untuk 120 gram, tiada salah meletakkan 125 gram atau 130 gram dalam setiap bungkusan itu. 

“Malah, ayah juga selalu bagi harga murah kepada pelanggan. Kata ayah, setiap senyuman pelanggan yang berkunjung sama ada di gerai atau di pasar tani adalah rezeki,” katanya. 

Perniagaannya di Wisma Masri memasarkan lebih 30 kerepek dan kuih tradisional seperti baulu, rempeyek kacang tanah, kacang dal dan kacang hijau, kerepek ubi, kerepek bawang, muruku dan kerepek pisang. 

Selepas ditubuhkan Wisma Masri kini mempunyai hampir 50 tenaga kerja.

Terbaharu, pada 22 Oktober 2019, Musleha menerima Anugerah Agropreneur Wanita Agrobank (AAA) 2019 yang dipilih daripada calon di seluruh negara.


Menerima Anugerah Agropreneur Wanita 2019
- Musleha Zainuddin (MHP Enterprise)